Sunday 1 January 2017

Menukar lampu kalimantang/pendarfluor bulat kepada bulb downlight

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...Selamat menyambut tahun baru 2017. Saya mendoakan agar pengunjung blog ini dipermudahkan urusan dan mendapat kesenangan sepanjang tahun 2017 ini.

Bermula 1hb Januari 2017, harga minyak petrol dan diesel telah dinaikkan. Sebagai pengguna kita harus bijak untuk merencanakan perbelanjaan kita dan berjimat cermat dalam mengharungi tahun yang mencabar ini.

Hari ini saya akan menunjukkan cara-cara untuk menukar lampu kalimantang bulat kepada bulb downlight. Penukaran secara DIY - do it yourself sahaja memandangkan kerja-kerja tersebut tidak sukar dilakukan dan dapat menjimatkan duit. Kebetulan lampu di rumah dah berkelip-kelip, maklumlah dah hampir enam tahun lampu tersebut berkhidmat. Sebelum itu, kita kenali dulu lampu kalimantan bulat tersebut;

Inilah lampu kalimantang/pendarfluor bulat. Untuk membuka penutup lampu, pusingkan skru arah lawan jam di tengah lampu tersebut. Selalu kita lihat lampu kalimantang ini berbentuk lurus dan saiz 4' atau 2' panjang. Komponen asas lampu ini adalah mentol, starter dan choke/ballast. Jika kita lihat terdapat kesan kehitaman di mentol tersebut yang menandakan ia terbakar dan harus ditukar. Saya bercadang untuk menukar kepada bulb downlight disebabkan lebih mudah ditukar, komponen lampu yang senang diperolehi, lebih tahan lama, tidak terlalu mahal, lebih senyap dan lebih praktikal.

Secara DIY, kerja-kerja ini mudah dilakukan dengan menggunakan peralatan yang biasa digunakan.

Barang-barang yang diperlukan adalah seperti gambar di atas iaitu bulb downlight (daylight), bulb holder, terminal plastik (untuk menyambungkan dua wayar), wayar (tak kisah warna apa) dan juga peralatan seperti pemutar skru, pisau dan tangga. Setelah sambungan wayar dibuat seperti gambar di atas, kita teruskan dengan membuat pendawaian di siling pula.

Lihat dengan teliti gambar ini. Matikan dahulu suis lampu tersebut sebelum pendawaian dilakukan. Dua wayar kuning disambungkan kepada wayar biru dan dua wayar hitam disambungkan ke wayar merah. Tiga wayar hijau (wayar bumi) tidak disambungkan ke mana-mana (semasa menggunakan lampu kalimantang pun ia tidak disambungkan). Ketatkan skru pada terminal plastik yang menyambungkan wayar-wayar tersebut. Tidak menjadi masalah jika anda tidak mencabut mentol kalimantang lama beserta aksesorinya kerana kedudukan bulb downlight tidak mengganggu lampu tersebut.

Buat percubaan dengan menghidupkan suis lampu. Lampu menyala, dah berjaya menukar lampu kalimantang/pendarfluor bulat kepada bulb downlight. Pasangkan semula penutup lampu dan letakkan bulb downlight di dalamnya. Jika dilihat dengan teliti, kedudukan bulb downlight agak senget ketepi disebabkan terdapat skru di tengah-tengah lampu. Perkara ini tidaklah menjadi isu kepada saya disebabkan fungsi utama lampu untuk memberikan pencahayaan yang cukup di ruang rumah diperolehi.

Pemasangan bulb downlight ini sangat mudah bagi mereka yang ingin cuba memasang secara DIY. Walaubagaimanapun langkah-langkah keselamatan perlu dititikberatkan dan sebarang kemalangan adalah di atas risiko anda sendiri. Jika merasa ragu-ragu bolehlah bertanya kepada mereka yang pakar atau mendapatkan khidmat juruelektrik yang bertauliah.

Sebarang pertanyaan dan maklumbalas boleh diutarakan menerusi ruangan komen di bawah.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
Zaizizi



6 comments:

  1. terima kasih diatas tunjuk ajar...hampir 1 jam mencari penyelesaian utk hal ini...semoga terus sukses untuk tuan ...

    ReplyDelete
  2. tq sangat berguna, trutamanya smbngan wayar mengikut warna yg betul.. terbaik

    ReplyDelete
  3. mcm mana nak buka piring lampu tu?😅

    ReplyDelete
  4. sy dah pasang mentol ni. tapi bila suia dimatikan akan ada cahaya lemah berkelip kat mentol. kenapa ya..?

    ReplyDelete
  5. Terima kasih, susah sungguh nk cari pendaflour bulat sekarang..akhirnya saya tukar lampu lain...

    ReplyDelete
  6. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete